Khidmat Formulasi
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) bertanggungjawab untuk merancang, melaksana, memantau dan menilai Program Keselamatan dan Kualiti Makanan yang dilaksanakan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, pintu masuk dan pihak berkuasa tempatan. Objektif utama ialah untuk melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, serta mempermudahkan perdagangan makanan.
Mandat diperolehi daripada Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturannya. Di bawah Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, dua (2) bahagian telah ditubuhkan, iaitu Bahagian Perancangan, Pembangunan Dasar dan Standard Codex dan Bahagian Pematuhan dan Pembangunan Industri. Terdapat lapan (8) cawangan di bawah Bahagian-Bahagian ini iaitu Komunikasi dan Kepenggunaan, Polisi dan Penyelidikan, Standard dan Codex, Surveillan dan Makmal, Industri Domestik, Pematuhan Domestik, Import dan Eksport, dan Seksyen Pengurusan.
PELAKSANAAN PERMOHONAN KHIDMAT NASIHAT PELABELAN MAKANAN
Permohonan Khidmat Nasihat Pelabelan boleh dipos atau dihantar secara serahan tangan.
Setiap permohonan semakan label perlu dilampirkan dengan maklumat seperti berikut:
1. Senarai ramuan termasuk air mengikut peratus dan fungsi bagi setiap ramuan
2. Surat pengkelasan produk daripada BPFK (untuk produk Food Drug Interface sahaja)
3. Carta alir pemprosesan, standard makanan produk di negara asal (untuk makanan diimport)
4. Sijil analisis produk, 10 helai label sebenar produk/label yang dicadangkan
5. 1 sampel produk untuk rujukan, sijil jualan bebas daripada negara asal (sekiranya produk diimport dan salinan sijil-sijil jika berkaitan
Caj sebanyak RM 1,000.00 bagi setiap label dikenakan bagi permohonan tersebut dan piagam pelanggan adalah selama 30 hari dari tarikh lengkap permohonan diterima.
Surat maklumbalas akan dikeluarkan kepada pemohon bagi setiap permohonan yang diterima. Surat maklumbalas tersebut akan menyatakan sama ada label produk yang dihantar mematuhi atau tidak mematuhi peruntukan pelabelan makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Perincian kesalahan pelabelan (jika ada) juga akan dinyatakan.
Surat tersebut akan dihantar sama ada melalui pos atau pemohon boleh mengambilnya sendiri di BKKM.
FAEDAH PERMOHONAN SEMAKAN LABEL
Melalui perkhidmatan ini, pihak industri akan dimaklumkan secara terperinci mengenai kesalahan pelabelan jika ada. Label produk makanan yang telah mendapat kelulusan boleh dijual dengan selamat dipasaran. Pemohon dapat memastikan label produk makanan yang dijual mematuhi semua peruntukan pelabelan makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Di sini terdapat borang untuk:
- Khidmat nasihat pelabelan makanan yang melibatkan kos RM 1,000.
- Semakan pelabelan makanan yang melibatkan kos RM 250.